Pasti - Maklumat Am

Wednesday, July 29, 2009

Sejarah Penubuhan PASTI

Cetusan untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bemula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pemdidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam yang pada peringkat awalnya diberi nama TADIKA ISLAM.

Antara negeri-negeri awal yang melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Namun di sana terdapat sesuatu yang menarik daripada segi pengasasan, pengolahan dan pengendalian pusat-pusat berkenaan, suasana di mana berlakunya persefahaman antara jamaah Islam khususnya Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membahagikan peranan pendidikan ini kepada ABIM. Seawal tahun 1980 telah lahirnya pusat-pusat pendidikan prasekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).

Di Terengganu pada tahun 1985 TAsKI dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negari Terengganu. Manakala di Kelantan pusat prasekolah yang dikenali sebagai Putra Islam dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negari Kelantan sejak tahun 1988.

Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di sebelah utara telah wujud pusat-pusat prasekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda Pas negeri masing-masing. Pada tahun 1988 hasil daripada penyelarasan semula semua TASKI yang dikelolakan oleh ahli-ahli PAS. Tanggal 10 April 1987 Dewan Pemuda PAS Pusat melalui muktamar Tahunan ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk di peringkat Pusat diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan PASTI.

Pada 29-30 Mei 1988 tekah berlangsung Seminar Prasekolah di Masjid Rusila Marang Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Dua kertas kerja telah dbentangkan iaitu “Struktur Organisasi dan Pendidikan Prasekolah” oleh Ustaz Abd Halim Arshat dan “Penyelarsan Manhaj Pendidikan Prasekolah” oleh Ustaz Harun Taib. Ustaz Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat yang pertama pada 18 Mei 1989 bersama saudara Haji Mohd Najib Fahami Haji Yahya sebagai sebagai Timbalan Ketua Pengarah, saudara Ishak Ismail sebagai Setiausaha dan saudara Noh Ahmad sebagai Bendahari serta Pengarah-Pengarah PASTI Negari sebagai Ahli Jawatankuasa PASTI Pusat.

Pada 21 Julai 1991 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah megarahkan semua PASTI menggunakan logo baru yang rasmi dalam semua urusan PASTI. Logo ini telah direka oleh Raja Abdul Aziz Raja Ailan yang memenangi Pertandingan Mencipta Logo PASTI yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.

PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ini dengan penambahan kelas-kelas di seluruh negara dan pada suatu ketika meratai kesemua 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

Piagam Pelangan

  1. Pelajar dapat menguasai kemahiran asas 4M (membaca, menulis, mengira and menghafal)
  2. Sentiasa mengemaskini proses pengajaran & Pembelajaran selari dengan perkembangan terkini dalam pendidikan.
  3. Menyediakan suasana pembelajaran kondusif bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang sihat.
  4. Sentiasa proaktif terhadap setiap teguran, saranan dan pandangan ke arah kecemerlangan pendidikan PASTI.
  5. Sentiasa mengembangkan potensi murid berdasarkan kecenderungan bakat dan kebolehan masing-masing.

Falsafah Pendidikan

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM
Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara kearah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat

FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI
Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek Syakhsiyyah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada ISLAM, IMAN DAN IHSAN. Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognitif, psikomotor, bahasa sosio emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam. Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya  diredhai oleh Allah S.W,T di dunia dan di akhirat.

Visi, Misi dan Objektif Pendidikan PASTI

VISI

Melahirkan Insan Soleh di Malaysia melalui pendidikanp pra sekolah sebagai elemen terpenting

MISI

Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti  PASTI di Malaysia bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam


MATLAMAT PENUBUHAN PASTI

Matlamat Am

  1. Mengembalikan pemafahaman masyarakat umum kepada kepentingannya pendidikan Islam dan meransang kepekaan kebangkitan Islam sejagat.
  2. Mengadakan pendidikan awal (pra-sekolah) bagi melahirkan insan yang beriman, berilmu, beramal soleh dan berakhlak mulia.
  3. Menyediakan wadah awal pendidikan berorentasikan harakah Islamiah untuk jangka masa panjang.
  4. Menjadi pusat untuk membentuk fikrah masyarakat yang sedang mengalami dan menghadapi keruntuhan aqidah dan akhlak akibat dari serangan ideologi sekular dan kebendaan.
  5. Menyedarkan masyarakat umum tentang hakikat tarbiyah Islamiyyah beristiqamah dan beriltizam dengan Islam.

Matlamat Khas

  1. Menyedar dan meningkatkan kesempurnaan Tauhid agar beramal dengan setiap kebaikan yang diredhai Allah dan RasulNya dan meninggalkan setiap kemungkaran yang dimurkai Allah S.W.T.
  2. Membentuk peribadi insan agar mencontohi peribadi mulia Rasulullah s.a.w.
  3. Memberi galakkan kepada kanak-kanak secara intensif agar mereka dapat menjiwai fitrah kelahiran manusia dan mengabdikan diri hanya kepada Allah
  4. Memberi kesedaran betapa pentingnya bahasa sebagai alat komunikasi dalam kehidupan seharian terutamanya bahasa Al-Quran


OBJEKTIF PENDIDIKAN PASTI


  1. Menyediakan proses pendidikan awal yang berorentasikan sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan anak yang soleh, berilmu dan beramal.
  2. Mendidik jiwa dan akal kanak-kanak dengan didikan Islam bersumberkan  ajaran Al-Quran dan Hadis.
  3. Membimbing kanak-kanak supaya menghayati ibadah , akhlak dan cenderong melakukan ma’ruf serta meninggalkan mungkar.
  4. Melatih kanak-kanak membaca, menghafaz dan menghayati Al-Quran , doa dan zikir.
  5. Memberi pengetahuan kepada kanak-kanak asas-asas bahasa, matematik dan komunikasi ke arah kebolehan membaca, mengira, menulis dan menghafal.

Followers